Peruntukan pemegang amanah Yapeim naik




SHAH ALAM - National Oversight and Whistleblowers (Now) mempersoalkan peruntukan Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) yang berjumlah RM3.5 juta.
Pengarah Now, Akmal Nasir berkata, ia berdasarkan buku Bajet Yapeim 2014 dan 2015 mengenai perbelanjaan Lembaga Pemegang Amanah.
“Penyata kewangan bagi tempoh berakhir 31 Disember 2013 menunjukkan, jumlah perbelanjaan bagi lembaga pemegang amanah 2012 adalah RM498,725 dan 2013 adalah sebanyak RM665,316.
“Manakala penyata kewangan bagi tempoh berakhir 31 Disember 2014 dan anggaran perbelanjaan bagi 2015, menunjukkan perbelanjaan lembaga pemegang amanah 2014 adalah RM2.617 juta serta 2015 dianggarkan sebanyak RM3.5 juta,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Beliau mendakwa, berlaku peningkatan perbelanjaan untuk Lembaga Pemegang Amanah Yapeim dalam tempoh hanya tiga tahun adalah sebanyak tujuh kali ganda.
“Walaupun terdapat penambahan terma ‘Panel’ dalam Belanja Lembaga antara 2013 dan 2014, apakah jawatan tambahan yang diwujudkan dan siapakah mereka yang menerima manfaat ini?," soalnya.
Akmal turut menimbulkan persoalan, mengapakah elaun tetap atau kehadiran bagi tahun 2012 dan 2013 hanya sekitar RM300,000 tetapi bagi tahun 2014 mengalami peningkatan sehingga RM1.76 juta.
“Begitu juga dengan tahun 2015 dianggarkan memakan kos kira-kira RM2.26 juta.
“Adakah benar elaun jamuan dan keraian yang dibelanjakan bagi tahun 2013 hanya RM3,608 tetapi meningkat sebanyak 55 kali ganda kepada RM201,960 bagi peruntukan tahun 2015?,” soalnya.
Mengulas mengenai perkara tersebut, Akmal meminta supaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, menilai dan mengkaji semula perkara yang dibangkitkan.
“Memandangkan mereka yang memegang jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Lembaga Pemegang Amanah Yapeim masih mengekalkan kedudukan mereka, saya harap Jamil Khir mengkaji semula.
“Seperti yang dikemukakan sebelum ini, ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah Yapeim bagi tempoh 1 Januari 2014 sehingga 31 Disember 2016 adalah dilantik atas nasihat menteri sendiri,” katanya.
Jelasnya, pencarum pasti mahu penjelasan mengenai peningkatan tersebut ketara bagi perbelanjaan Lembaga Pemegang Amanah dan mengapa perbelanjaan begitu tinggi diperlukan.
Sementara itu, beliau menyambut baik pengumuman Yapeim bahawa presiden dan timbalannya telah meletakkan jawatan dalam semua anak-anak syarikat badan berkenaan.
“Ismail Mat Nasib Isteri kepada Datuk Siti Zaleha Hussin (Timbalan Presiden Yapeim) telah melepaskan jawatan yang disandang sebagai Fellow Yapeim.
“Namun, status jawatan-jawatan disandang oleh Wan Johan iaitu anak kepada Siti Zaleha yang dikatakan sebanyak enam jawatan tidak dijelaskan,” katanya.
Ujarnya lagi, peletakan jawatan-jawatan ini belum memulihkan moral dan integriti Yapeim.
Peruntukan pemegang amanah Yapeim naik Peruntukan pemegang amanah Yapeim naik Reviewed by Liya Sofea Razali on 10:08:00 AM Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.