Stadium kebanggaan warga Felda




JENGKA - Stadium Felda Tun Abdul Razak yang bakal menjadi venue tetap pasukan Felda United siap dibina sepenuhnya dan penyerahan rasmi kepada Felda akan disempurnakan, 15 Disember ini.
Exco Hal Ehwal Felda Pahang, Datuk Abu Bakar Harun berkata, stadium bernilai RM92 juta itu akan digunakan untuk saingan membabitkan Felda United termasuk Liga Malaysia bermula musim depan.
Menurutnya, berkapasiti lebih 20,000 penonton dan merupakan stadium moden diiktiraf Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menjadi satu lagi mercu tanda di bandar ini.
“Pembinaan stadium bermula 2013 dan merupakan manifestasi minat mendalam generasi baharu tanah rancangan terhadap bola sepak sebagai sukan nombor satu negara.
“Sebelum ini, Felda United tidak mempunyai stadium khusus sebagai gelanggang sendiri dengan berkongsi Stadium Majlis Perbandaran Selayang dengan pasukan Sime Darby.
“Kini warga Felda khusus di Jengka tidak sabar untuk menyaksikan pasukan mereka beraksi di stadium sendiri yang menggunakan rumput tiruan diiktiraf dunia,” katanya.
Sementara itu, Adun Jengka, Datuk Wan Salman Wan Ismail berkata, pembukaan stadium itu kelak bukan sahaja membantu menyemarakkan sukan bola sepak tetapi bakal membawa limpahan ekonomi kepada penduduk sekitar.
Menurutnya, ia memberi input ekonomi positif kepada warga Felda apabila bakal menikmati peningkatan pembangunan di kawasan berdekatan.
“Perniagaan berkaitan sukan, restoran atau kedai makan dan bilik kediaman seperti hotel serta inap desa bakal diwujudkan untuk keperluan pengunjung yang datang.
“Felda turut merancang membina sebuah hotel serba lengkap di Bandar Tun Abdul Razak Jengka bagi menampung kebanjiran pengunjung pada musim perlawanan bola sepak.
“Selaku anak Felda, saya sendiri sangat teruja dan berbangga dengan kewujudan stadium ini di tengah wilayah Jengka yang membuktikan janji kerajaan untuk membina sebuah stadium serba lengkap bukannya retorik,” katanya.
Stadium kebanggaan warga Felda Stadium kebanggaan warga Felda Reviewed by Liya Sofea Razali on 10:19:00 AM Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.